Persoalan Jodoh


3005576281_526fc6b064 (1)

Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi pandangan(mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). Ayat 3 & 4 : Surah al-Mulk

Semalam sambil duduk-duduk membuat kerja masing-masing saya melontar persoalan kepada suami.

Apa pendapat suami saya tips untuk dapatkan jodoh atau cepatkan jodoh? Saya memahami perasaan sahabat-sahabat yang dah bersedia namun belum sampai jodoh/serunya

Saya memancing pendapat suami. Pendapat peribadi saya, saya diamkan dahulu.

Ingin mendengar pandang sudut seorang lelaki pula.

Suami terus membaca ayat ALLAH yang mulia dipetik dari Surah Annur.

وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ

Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya;

Saya menyambung bual sambil menghadiahkan senyum pada suami.

PERSOALAN JODOH

“Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu(mengenai sesuatu pun) kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah,Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.” At-Takwir

Persoalan saya itu membawa kepada makluman teman sebilik di UIA dahulu. Khabaran beliau teman sebilik kami dari Thailand telah berkahwin semula. MashALLAH dan ALHAMDULILLAH.

Inilah rahsia jodoh. Tidak dapat ditelah. Kita hanya dapat mempersiapkan diri.

Kakak Thailand itu diuji dengan penceraian tika cinta masih subur dan kesetiaan tiada taranya lagi.

Perkahwinan kali kedua, inilah ketentuan dan nikmah ALLAH.

Seringkali saya ditanya tentang persoalan jodoh atau bersama dengan sahabat-sahabat yang menunggu pasangan yang ALLAH takdirkan buat mereka.

Mari kita telusuri sekian banyak ulama’ amilin dan mereka yang solihin dari kalangan Salaf bercerita tentang mereka yang masih bujang.

Jangan bersedih jangan pula beduka. Ada jawapan bagi yang mencari.

PERSIAPAN: TAQWA, PELIHARA dan SERAH

Setiap kali dituju isu ini, dua jawapan sahaja yang ada pada saya.

Saya bukan pakar apatah lagi mereka yang berpengalaman. Sekadar ‘dua sen’ saya sahaja apa yang diserap melalui kalam-kalam mereka yang dekat dengan ALLAH juga; para salaf yang terpelihara.

Taqwa yang boleh diberi maksud secara ringkas menjaga diri dan penyerahan MUTLAK jiwa dan hati kepada ALLAH.

Taqwa bukan penjara. Ia tidak sepatutnya melemaskan.

Ia rumah dan pakaian diri. Kalam Assyahid Murtadha Muthahhari memberi demensi baru dalam menggambarkan pengertian taqwa yang dirumus dari takrif salaf.

Bahawa takwa bukanlah sekedar “keterbatasan” melainkan “keterjagaan.” Takwa bagi jiwa seperti rumah bagi kehidupan dan pakaian bagi tubuh

Ibarat rumah yang melindungi dari panas terik matahari. Juga pakaian yang memelihara kehormatan dan aib diri.

Begitulah kiranya taqwa.

Jawapan sekalian Ulama’ samada salaf dan khalaf, jika kita masih bujang dan telah atau belum bersedia. Sudah ada calon atau tidak, bertaqwalah dan peliharalah dirimu dalam menunggu lelaki yang bakal disatukan bersamamu kelak.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut

Inilah pesanan para Ulama’ dan ajaran para Salaf yang ditekuni dari Nabi saw yang mulia. Seperti yang sampai pada kita oleh Saidinia Ali karamallahuwajhah di dalam kitab Nahj al-Balaghah:-

Ingatlah, jagalah takwa olehmu, dan dengan perantaraan takwa ciptakanlah keterjagaan dirimu. Sesungguhnya takwa merupakan kunci kebenaran, simpanan hari kiamat, keterbebasan dari segala perhambaan, dan keselamatan dari segala kebinasaan. Dengan perantaraan takwa, seorang pencari berhasil mencapai apa yang dicarinya, seorang yang lari berhasil menghindari musuhnya, dan seorang pengharap dapat menggapai apa yang diharapkannya.

Peliharalah dirimu, peliharalah dirimu, peliharalah dirimu.

Peliharalah dirimu seperti mana mafhum firman ALLAH dalam Surah AnNur di atas:-

Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya;

Kemampuan di sini samada dari sudut kewangan, masa, calon, kehendak ataupun kelapangan jiwa.

Peliharalah dirimu wahai wanita solehah lagi muslimah.

Peliharalah dirimu dari lelaki-lelaki ajnabi, dari mata-mata tajam yang menghampiri, dari usikan-usikan halus lagi mempedaya.

Peliharalah dirimu dengan taqwa dan cinta. PadaNYA.

Dengan penuh kasih dan cinta kerana ALLAH, saya mengingatkan diriku sendiri dan kalian. Percayalah ini datang kerana kasih tidak berbelah lagi. Agar kelak sama-sama kita berada di bawah lembayungNYA tika hari tiada lembayung kelak.

Peliharalah dirimu dengan seketat-ketatnya dari perkara haram dan syubhah, lalai juga lagha. Semampu mungkin.

Percayalah jika kita menjaga hak diri dan ALLAH, ALLAH akan menjagamu dan mengurniakan satu jodoh, satu rezeki juga takdir yang tidak tersangkakan oleh akalmu dan bacaan fikiranmu. Yang sungguh indah dan luar biasa sekali sifatnya.

Sesuai dengan mafhum hadis ke 19 matan Arbain di bawah:-

“Peliharalah ALLAH, nescaya Ia memelihara engkau. Peliharalah ALLAH, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada ALLAH. Dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan ALLAH.”

Peliharalah hak-hak ALLAH atas dirimu, juga hak dirimu atas syariatNYA, nescaya di sisiNYA pasti ada satu jalan takdir juga doa yang pasti diendahkan oleh Sang Penyambut DOA.

Peliharalah agar dapat menghampiri menjadi wanita suci yang terpelihara. Lupakan tentang kisah-kisah silam dan kesilapan-kesilapan yang menjadi penyesalan dan tutupkan ia dengan taubah dan doa. Mulakan satu fasa baru memelihara diri menjadi wanita yang terpelihara di sisi ALLAH.

Setiap dari kita ada penyesalannya. Setiap dari kita ada jalannya tersendiri menuju ALLAH. Sekali terjatuh, sudah cukup menyeksakan bagi mu’min.

Pandang ke depan. Allah melihat apa yang baharu, bukan apa yang telah dikubur dengan taubah nasuha dan doa penyesalan.

Percayalah, ALLAH pasti memandang kita. Percayalah ALLAH memandang hati-hati kita. Allah memandang kita yang memandang hanya kepada NYA. Yang berusaha untuk taat kepadaNYA.

Setelah bertaqwa dan berusaha semampu mungkin memelihara diri seterusnya SERAHkanlah jiwa, diri dan hatimu kepada Penguasa Langit dan Bumi.

Serahkanlah pada DIA yang lebih dari tahu. Lebih dari Pengasih. Lebih dari segala sifat-sifat yang mulus lagi mulia.

KALIANLAH WANITA SOLEHAH ITU

Saya sangat percaya kalianlah sahabat-sahabat, kakak-kakak dan adik-adik saya wanita solehah yang memelihara diri, maruah dan agamanya. Namun diuji dengan beberapa perkara.

Percayalah anda wanita terpilih dan sangat bertuahlah lelaki yang dapat memilik sahabat-sahabat semua. Alangkah seandainya mereka tahu wanita-wanita solehah yang tersembunyi lagi terpelihara yang dapat memberikan keajaiban serta kegembiraan syurga dunia dan akhirah buat mereka, pasti mereka berlari mendapatkan kalian dan meninggalkan keutamaan dunia dan nafsu.

Apa yang ALLAH suka akan diutamakan. Namun, wanita-wanita terpelihara lagi baik sangatlah tersembunyi lagi terpelihara sifatnya.

Saya bersama kalian dengan doa.

Setiap dari kita ada bahagiannya di sisi ALLAH. Dilambat sesuatu, dicepatkan yang lain. Dicepat sesuatu dilambatkan yang lain pula. Begitu juga saya.

Suatu kegembiraanlah dengan taqwa dan penyerahan dan tunduk syukur atas segala takdir yang ALLAH kurniakan buat kita.

Nantilah dengan taqwa dan penyerahan kepada ALLAH.

Di akhir entri ini saya suka memetik kalam Hikam yang ke 4:-

TENANGKAN HATIMU DARI URUSAN TADBIR KERANA APA YANG DIATUR OLEH SELAIN-MU TENTANG URUSAN DIRIMU, TIDAK PERLU ENGKAU KHUATIR

Juga kalam Ibnu Athaillah yang sangat berharga:-

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA,UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN

KALAM AKHIR

Pilihlah apa yang ALLAH suka lebih dari yang kita suka untuk diri kita, pasti tenang lagi bahagia jawapannya.

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Ayat68 : Surah al-Qasas

Walau apapun jua, bersendiri, berdua atau mempunyai zuriat atau tidak semunya pilihan ALLAH belaka untuk kita. Jangan bersedih hati jangan pula berasa nestapa. Kita punya doa dan usaha. Penentunya, Al-Khaliq semuanya.

Matlamat kita hanya untuk cari apa yang ALLAH suka dan bersama-sama dengan semua yang kita cinta keranaNYA di daerah kekal suatu hari nanti.

7 thoughts on “Persoalan Jodoh

  1. Salam dik Sumayyah…
    Aduhai… beberapa kali cuba nak letak komen, akhirnya dapat jugak.

    Allah mengatur segalanya dengan baik sekali. Lambat atau cepat sesuatu rezeki tu jatuh dalam genggaman (jodoh pun rezeki jugak), pasti ada rahsia tersembunyi.

    Macam kak su, dikalangan teman-teman sekuliah, kak su dikira antara yang terawal kawin. Kak Su kerja jauh dari keluarga, mak ayah tak de, hanya kakak je yg masih ada kat kampung. Jadi Allah berikan kak su suami yg begitu menjaga diri kak su, mengawal langkah kak su, melengkapi kehidupan kak su dengan kasih sayangnya. Syukur Alhamdulillah.

  2. betul2…..kalau jodoh dah sampai mudah sahaja jalannya (berdasarkan pengalaman sendiri)

    yang penting, jgn berharap pada manusia….berharaplah pada ALLAH kerna kau tidak akan kecewa….insyaALLAH

    dan perbaiki diri, jaga diri, dan sentiasa taat perintah ALLAH

  3. simpleshida

    salam eid adha… yg melabuhkn tirai..;) aiwah.. bertukar pink clour ek…hehee..

    tntg jodoh. erm.. mostli akan menjadi bahan bualan bilamana yg sudah meningkat tangga usia..

    btw.. insyaallah jodoh kita dh ditulisNya.. 😉 dont be sad..hehe.. insyaallah one day the special day..will come..insyaallah..

    “…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”.

    “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan),kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.
    Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.”
    (Al-Insyirah : 5-8)

    wallahu’alam..

  4. Ummu Auni

    taqabalallahu minna wa minkum.

    akak baru baca perkongsian menarik itu. ya betul, ramai yang berdoa tapi tak ramai yang tahu the power of doa. Akak sentiasa yakin, semua benda yang terjadi semuanya dengan izin-Nya. Jadi akak cuba redha, cuba terima, dan yakin Allah takkan mensia-siakan akak 🙂

    [WORDPRESS HASHCASH] The poster sent us ‘0 which is not a hashcash value.

Leave a reply to Ummu Auni Cancel reply