Bersama kekasihNya


Rahmat Allah turun pada mengingati orang soleh

Bersama-sama orang yang soleh di dalam majlis mereka, ataupun mendengar kalam-kalam mereka, mahupun mendengar cerita tentang mereka serta manaqib mereka merupakan suatu yang menenangkan jiwa, menerangkan hati serta memperelokkan dengannya akhlak dan juga amalan kita.

Perkara ini di naqalkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah di dalam ta’liqan beliau pada mensyarahkan kitab Risalah Mustarsyidin karangan Imam Harith Al-Muhasibi. Kerana itu, sebahagian golongan salaf, di dalam menafsirkan maksud kalam Allah Taala yang bermaksud ” Hanyasanya dengan mengingati Allah itu,hatikan menjadi tenang ” ialah mengingati dan menyebut-nyebut tentang sahabat nabi, kerana merekalah golongan yang di beri fadhilat melihat Nabi Muhammad Sallalahualaihiwassallam,mengambil ilmu terus dari baginda serta menyaksikan contoh tauladannya.

Peluang bersama ulama murabbi

Saya dan isteri di beri rezeki oleh Allah Taala untuk menghadiri Mukhayyam Tarbawi @ kem tarbiah yang di anjurkan oleh Darul Hasani di Negeri Sembilan. Program yang berjalan selama 3 hari 2 malam ini di kendalikan sendiri oleh seorang ulama’ murabbi Al-Allamah Sayyiduna Syeikh Yusuf  Bakhur Al-Hasani berserta para ahbab dari seluruh Malaysia. Program yang penuh dengan pengisian jiwa di selangi dengan bacaan burdah dan pujian selawat kepada Nabi Muhammad Sallalahualaihiwassallam serta zikir-zikir itu benar-benar  seumpama siraman hujan yang membasahi bumi jiwa yang sudah lama kontang kerana kesibukan duniawi.

Sepanjang program itu,banyak sekali perbincangan sekitar pemahaman yang sahih dan benar tentang tasawwuf serta qadiah dan persoalan berkaitan  yang kerap kali di salah fahami oleh orang yang sekadar menilai dari luar. Sebab itu dalam mendatangi sesuatu disiplin ilmu termasuklah ilmu tasawwuf ini, ulama’ menggariskan 10 perkara asas (Mabadi’ Al-Asyarah) yang menjadi garis panduan supaya kita tidak terkeluar dari batasan ini di dalam memahami dan membincangkan sesuatu perkara. Ianya di ringkaskan di dalam suatu bait syair seperti berikut:

ان المبادي كل فن عشرة     الحدوالموضوع ثم الثمرة

وفضله ونسبه والواضع     والاسم الاستمداد حكم الشارع

مساءل والبعض بالبعض اكتفى     ومن درى الجميع حاز الشرفا

Maksudnya:

Sesungguhnya prinsip setiap seni ilmu itu ada sepuluh perkara. Batasannya, tajuknya kemudian faedah mempelajarinya.

Dan fadilat kelebihannya, kaitannya serta pengasas disiplin ilmu itu. Namanya,sumber pengambilannya serta hukum mempelajarinya.

Permasalahan berkaitan dengannya,dan sebahagiannya saling mencukupi bahagian yang lain. Barangsiapa menguasai kesemuanya, pasti mendapat kemuliaan di sisiNya.

Soal Jawab Bersama Syeikh Yusuf 1


Zaytuna Institute

1) Kenapa kehendak menuju Allah Taala masih lemah walaupun mempelajari ilmu tasawuf?

– Tasawuf bukan sekadar disiplin ilmu yang di semata-mata di hafal dan di pelajari tetapi ianya ialah kehendak itu sendiri dalam melaksanakan arahan @ hukum yang di tetapkan oleh Allah Taala.

– Buah ilmu tasawuf ialah cinta kepada Allah Taala yang bukan semata-mata dakwaan tetapi ialah mengosongkan jiwa dari selain yang di cintainya.

-Permulaan cinta ialah mengosongkan jiwa dari dunia yang menjadi hijab penghalang dan menyerahkan segalanya kepada Allah Taala.

-Allah Taala sentiasa hadir dekat dengan hambanya (ma’iyyatullah) tetapi manusia itu yang menjauhkan diri dari tuhannya.

– Kelemahan kehendak lahir dari jiwa yang tertipu dengan syaitan untuk menangguhkan amal soleh dan mengatakan masih ada esok untuk beramal.

(2) Bagaimanakah untuk menjauhkan jiwa dari sifat mazmumah (ujub,riya’)?

– Sifat mazmumah merupakan hijab yang menutup mata hati dari melihat Allah Taala. Sifat ini akan datang satu persatu dan sekiranya jiwa ini tidak di bersihkan,sifat ini akan bertambah menebal dan sukar untuk di bersihkan.

– Manusia perlu mengubah kecenderungan diri dari melihat kelebihan dan kecantikan diri kepada melihat keaiban dirinya agar dia menyedari yang dirinya memerlukan mujahadah untuk menghilangkan sifat mazmumah tersebut.

– Punca utama sifat mazmumah ini ialah sifat ananiah iaitu melihat semua perkara yang baik itu lahir dari kemampuan diri sendiri dan bukan taufiq dan hidayah dari Allah. Hakikatnya perbuatan manusia juga adalah makhluk seperti juga dirinya.

(3) Apakah persediaan sebelum memasuki jalan tasawuf@tariqah dan adakah zikir itu memadai untuk sampai kepada Allah Taala?

– Zikir terbahagi kepada dua iaitu:

(a) Zikir barakah – zikir yang di baca untuk mendapat pahala. Ianya seumpama ubatan yang di beli di farmasi tanpa merujuk kepada doktor.

(b) Zikir taraqiy- zikir ini di ijazahkan kepada salik yang melalui jalan tariqah. Ianya seumpama ubat khusus untuk mengubati penyakit yang di preskribsi oleh doktor.

-Persediaan sebelum memasuki jalan tasawuf :

(a) Sidqul himmah – Jalan menuju Allah Taala ialah jalan yang penuh rintangan dan ianya memerlukan kesungguhan dan tekad yang tinggi.

(b) Sidqut tawajjuh – Matlamat akhir perjalanan ini ialah Allah Taala dan bukan selainNya.

(c) Sidqus Suhbah – Perjalanan yang panjang ini memerlukan pembimbing dan salik perlu jujur dalam menuruti petunjuk mursyidnya yang di ibaratkan seperti doktor yang merawat penyakit rohaninya.

Bidang penjagaan kesihatan : Terpilih,di pilih atau memilih?


Belajar dan bekerja merupakan 2 situasi yang sangat berbeza. Bagaikan langit dengan bumi. Ramai di antara kita yang menganggap dunia pekerjaan itu sekadar satu penerusan dari alam pembelajaran rasmi di sekolah dan universiti. Lalu, mereka memasuki alam pekerjaan tanpa persediaan jiwa dan mental yang secukupnya, menyebabkan hari-hari bekerja yang di lalui oleh mereka menjadi satu penyeksaan jiwa yang tidak berpenghujung. Keinginan untuk berhenti dari pekerjaan ialah suatu yang tidak memungkinkan lebih-lebih lagi di dalam dunia yang segala-galanya memerlukan wang ringgit.

Penderitaan semakin bertambah apabila ganjaran kewangan yang di perolehi tidak setimpal dengan penat lelah yang di hadapi. Akhirnya institusi pekerjaan melahirkan robot-robot yang bekerja tanpa jiwa yang hadir,malah yang lebih teruk, ada yang tubuh badannya juga tidak hadir tanpa alasan menyebabkan gaji buta yang di perolehi setiap bulan bakal menjadi bahan bakar mereka di akhirat nanti. Itulah situasi yang berlaku,dan bidang penjagaan kesihatan juga turut terkena tempiasnya. Jika di lakukan analisa kepada pelajar di bidang ini khususnya pelajar perubatan,masing-masing akan kelihatan begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk memulakan alam pekerjaan dan menyandang gelaran doktor.

Continue reading “Bidang penjagaan kesihatan : Terpilih,di pilih atau memilih?”

Catatan Di Padang 2 (Satu Kemaskini)


8 November 2009

3 pagi

Pagi itu, saya di kejutkan oleh bacaan Al-Quran yang di baca oleh seseorang. Rasanya masih terlalu awal untuk bangun kerana jam masih menunjukkan pukul 3 pagi. Di suatu sudut surau itu, saya terpandang seseorang berjubah sedang solat tahajjud. ” Awalnya Haji Zainal bangun, tak letih ke dia seharian menggali perigi semalam ” gumam hati saya sebelum tertidur semula. Malu juga rasanya bila saya yang hanya membuat ‘light duty’ tidak punya kekuatan untuk melawan perasaan mengantuk.

30 minit sebelum subuh, semua ahli rombongan sudah mula bersiap untuk solat subuh. Saya yang terbangun agak lewat terpaksa beratur menunggu giliran untuk menggunakan tandas ‘buatan’ yang di bina 2 untuk kegunaan semua orang.

6 pagi

Alhamdulillah, syukur masih di beri peluang untuk meneruskan kehidupan. Seusai solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abu Bakar, beliau menyampaikan tazkirah yang menyentuh tentang peri pentingnya ukhuwwah islam. Ukhuwwah yang di umpamakan seperti ikatan saudara sedarah sedaging seharusnya melahirkan keprihatinan terhadap masalah yang di hadapi oleh saudaranya dan bukan sekadar mementingkan kesenangan diri sendiri. Seperti biasa, ada yang dapat menumpukan perhatian tetapi ramai antara kami yang tersengguk menahan kantuk di dalam suasana dingin pagi itu.

Pagi itu,kami bermesyuarat sekali lagi untuk menilai gerakerja semalam dan merancang tindakan hari ini. Kumpulan pertama meneruskan agenda membina rumah untuk penduduk sekitar Padang Pariaman dan kumpulan kedua akan menyambung kerja menggali perigi yang tertangguh di Sungai Limau. Menurut mereka, keadaan geografi Sungai Limau yang berbukit menyebabkan air dari  perigi yang di gali tidak mampu untuk naik ke atas. Hari ini,mereka akan membeli 1 lagi pam dan 2 tong air untuk menarik air dari lereng bukit naik ke atas,tempat kediaman penduduk Sungai Limau.

Saya ternanti-nanti pembahagian tugas saya kerana tidak di beritahu di mana khidmat kesihatan akan di adakan pada hari ini. ” Ok, doktor hari ni ikut saya,kita ke Sungai Limau. Saya gali perigi, doktor tengokkan kesihatan penduduk kampung” ujar Haji Zainal. Beliau yang sudah hampir 1 bulan di Padang sudah tahu segala permasalahan penduduk di situ. Sehinggakan, jika beliau bercakap loghat indonesia,pasti orang tidak akan menyangka dia berasal dari Malaysia.

8 pagi

Selepas bersiap-siap dan makan pagi,kami bertolak ke destinasi masing-masing. Saya, bersama 6 sukarelawan wanita dan kumpulan menggali perigi menaiki kenderaan 4WD ke Sungai Limau. Kedudukannya yang berbukit menyukarkan kenderaan biasa untuk sampai ke sana.

Sampai di sana, kami memunggah tangki air dan motor yang di beli di pertengahan jalan tadi. Saya dan ‘jururawat’ yang membawa ubatan pantas di kerumuni oleh kanak-kanak dan orang tua yang datang dengan pelbagai masalah penyakit. Kebanyakannya berpunca dari penggunaan air yang tercemar seperti cirit birit, jangkitan kuman pada kulit dan demam serta sakit tulang kerana terdedah kepada cuaca yang sejuk.

SDC10836

Mengangkat tangki air ke lereng bukit

Pemeriksaan kesihatan warga Sungai Limau

Telaga yang di ‘bore’ berhampiran telaga lama

PERIGI HARAPAN

Selesai sesi pemeriksaan kesihatan, saya menyertai kumpulan menggali perigi di belakang perkampungan tersebut. Di lereng bukit yang curam itu hanya terdapat 2 perigi kecil yang mengandungi air bertanah yang rasanya layak di panggil lopak. Air itulah yang di gunakan oleh penduduk sehari-hari semenjak perigi asal tertimbus selepas gempa bumi. Patutlah mereka kelihatan benar-benar gembira bila ada orang yang membantu mereka mendapatkan air bersih apatah lagi mengepam air tersebut ke atas bukit sekaligus mempermudahkan mereka mendapatkan air tanpa perlu menuruni bukit yang curam itu.

Selesai proses pemasangan paip,berebut-rebut kanak-kanak di paip utama untuk mandi. Sebelum bertolak balik, mereka mengajak kami menjamu selera. Saya ingin menolak kerana rasa tidak selesa dengan proses penyediaan makanan yang tidak bersih. Mereka menggunakan air yang dari perigi yang tidak bersih, memasak di dapur luar rumah bersama ayam dan kucing dan pelbagai lagi faktor yang meng’halang’ selera saya.

Kanak-kanak berebut untuk mandi dengan air yang bersih

Sukarelawan wanita bergambar bersama penduduk kampung berlatarbelakangkan rumah yang runtuh

LAUK AYAM ‘HIDUP’

Haji Zainal mengajak kami menjamah makanan sebagai tanda hormat kepada mereka. Makanlah kami dengan ‘slow motion’ di kelilingi oleh orang kampung dan ayam serta binatang ternak yang lain. Tiba-tiba seekor ayam melompat masuk ke dalam lauk kami dan menumpahkan lauk tersebut. Kali ini,saya benar-benar tidak mampu meneruskan makan. Tambahan pula,Haji Zainal bercerita tentang katak yang masuk ke dalam kuah panas semasa beliau makan di rumah mertua beliau di Indonesia. Mujurlah isi perut saya tidak terkeluar dengan cerita ‘seram’ tersebut.

5 petang

Hari ini kami sama-sama balik ke posko keletihan. Haji Zainal dan Pak Cik Alias masih bersemangat untuk meneruskan kerja penggalian telaga yang tertangguh di kawasan lain. Selepas kami bersolat asar, saya terlena dan tersedar 1 jam kemudian. Semua kumpulan telah sampai dan masing-masing bercerita tentang pengalaman di kawasan kerja masing-masing. Ustaz Razali asyik bercerita tentang kesungguhan sukarelawan membina rumah untuk penduduk tetapi tuan rumah sendiri sekadar melihat sambil minum di kedai teh. Jiran-jiran sekeliling juga langsung tidak membantu seolah-olah rumah yang di bina bukan untuk kegunaan mereka bersama. Itulah suasana yang saya lihat sepanjang perjalanan siang tadi. Mereka seolah-olah tidak punya semangat untuk membina semula kehidupan dan memadai sekadar cukup untuk makan dan minum sehari-hari. Masa lapang mereka di habiskan di kedai kopi dan menonton siaran parabola di dalam khemah-khemah bantuan. Anak-anak muda mereka hanya kelihatan bersiar-siar dengan motorsikal dan jarang sekali kelihatan mereka menutup aurat dengan baik. Masjid dan surau juga tiada pengunjung dan tertutup sepanjang masa.

PERINGATAN ALLAH

Benarlah telahan kami, penduduk di sini sudah jauh meninggalkan penghayatan agama. Walhal, di sinilah bumi kelahiran ramai ulama’ terkemuka di Indonesia seperti HAMKA dan lain-lain. Penghijrahan ulama’ yang berterusan ke Jakarta dan Bandung meninggalkan penduduk setempat dalam keadaan jahil dari memahami agama. Itulah yang di akui sendiri oleh mereka yang masih punya kehendak untuk mengembalikan masyarakat kepada penghayatan agama seperti yang di warisi dari ulama’-ulama’ silam.

Dalam erti kata lain, semua yang berlaku, samada gempa bumi, tsunami dan pelbagai bencana lain adalah tazkirah dan peringatan dari Allah Taala. Janjinya jelas di dalam Al-Quran bahawa sekiranya penduduk sesuatu tempat itu melupakan agama Allah, nescaya di buka pintu kesenangan dunia di buka seluas-luasnya. Sedang mereka bergembira itulah, Allah Taala mendatangkan bencana dariNya mencabut segala akar umbi kemaksiatan dan kekufuran. Ianya telah berlaku kepada mereka dan boleh berlaku di negara kita sekiranya kita melakukan apa yang mereka lakukan.

Bersambung

Catatan Di Padang 1


Kejadian gempa bumi berskala 7.6 Mw berlaku pada pukul 5 petang waktu tempatan 30 September 2009 berhampiran Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia telah mengorbankan ramai nyawa dan harta benda. Menurut laporan,kerajaan mengesahkan 1,115 kematian, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.Manakala kira-kira 135,000 rumah rosak teruk, 65,000 sederhana rosak dan 79,000 rosak sedikit.

Walaupun di Malaysia, kesannya tidak begitu di rasai, namun sebagai orang islam, kesengsaraan dan penderitaan yang di alami oleh saudara seislam perlu sama-sama di hayati dan pertolongan yang termampu mesti di hulurkan bagi meringankan beban bahu yang memikul.

Sabda Rasulullah s.a.w : Perumpamaan orang yang beriman itu pada kasih sayang mereka seumpama satu tubuh, jika satu dari anggota tubuh itu mengalami kesakitan, ianya turut di rasai oleh seluruh anggota tubuh pada kesakitan dan berjaga malam kerananya.

PELUANG MEMBANTU

Saya berpeluang untuk pergi ke Padang,Indonesia bersama teman-teman dari Yayasan Amal Malaysia(YAM) pada 7hb November 2009 baru-baru ini. YAM telah menghantar sukarelawannya beberapa kali semenjak gempa bumi itu berlaku bagi membantu penduduk di sana membina kembali kehidupan mereka pasca gempa bumi.

CATATAN HARIAN

7hb November 2009

Hari ini,pukul 3 pagi lagi saya sudah terjaga. Bersiap-siap dan terus bertolak dari Shah Alam ke LCCT bersama isteri dan ibu mertua saya. Selesai solat subuh di surau,saya mencari-cari anggota rombongan,namun seorang pun daripada mereka tidak kelihatan.
Langsung saya menyalami isteri dan ibu mertua dan terus masuk ke balai berlepas kerana khuatir saya sudah di tinggalkan oleh ahli rombongan. Rupa-rupanya, penerbangan di jadualkan pada pukul 8 pagi dan mereka semua masih di luar.

Sebelum bertolak dari LCCT

Sempat menjadi jutawan. Lumayan sih!

Saya berjumpa semua ahli rombongan dari YAM dan kami check in bersama-sama. Tepat pukul 8 pagi,kapal terbang Air Asia berlepas meninggalkan Malaysia menuju ke Sumatera Barat,Indonesia. Tak sampai 1 jam, kami sudah mendarat di Lapangan Terbang Internasional,Minangkabau.

Gambar di Lapangan Terbang Internasional Minangkabau

Kami di sambut oleh 2 pemuda dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Ahmad Syukrillah yang masih menuntut di Universiti Riau dalam fakulti Ilmu Pemerintahan dan Azimu yang merupakan AJK PKS daerah Padang Pariaman. Dari lapangan terbang, kami di bawa menaiki Kijang Innova ( Jenama Toyota di Indonesia ) ke Posko Belinang ( Pos Koordinasi Bekasi Peduli Minang ) yang terletak di Padang Pariaman. Sempat lagi kami singgah untuk makan Nasi Padang di Restoran Lamun Ombak yang menurut mereka ialah tempat wajib bagi pelancong ke Sumatera. Memang sedap lauk pauk di sana dan sehingga hari ini saya masih teringatkan Kepala Ikan Merah Masak Lemak Cili Padi dan Air Jus Avokado.

Di Malaysia,saya terbayangkan semua bangunan di Padang sudah runtuh dan kami yang datang terpaksa duduk di dalam khemah tanpa bekalan air dan elektrik. Mujurlah, penempatan kami ialah surau separa siap yang terselamat dari kesan gempa dengan sumber air dari bawah tanah yang di pam dengan dapur kecil di belakang surau untuk kami memasak. Syukur, alhamdulillah.

Belum pun sempat saya merehatkan badan, Ustaz Arif dari PKS mengajak saya dan beberapa orang dari YAM untuk turut serta dengan program kesihatan gabungan 7 sekolah dengan Lembaga Perikanan Indonesia.

” Bolehlah pak doktor bercakap-cakap sama pelajar-pelajar tentang penjagaan kesihatan pasca gempa ” kata Ustaz Arif.

” Aduh,apa yang aku nak cakap nanti. Nak cakap Bahasa Malaysia, mesti budak-budak tu tak faham. Kalau cakap Indonesia, aku sendiri yang tak faham ” fikir aku di dalam hati.

Sampai di sana, Ustaz Wan Faizul dari YAM memulakan dengan motivasi dan nasyid-nasyid yang memberi semangat.Tiba masa untuk saya menyampaikan ceramah kesihatan, dan hasilnya, saya sendiri tidak faham apa yang saya ceramahkan gara-gara ingin meng’adjust’ kepada bahasa mereka.

Ustaz Wan Faizul menyampaikan ceramah motivasinya kepada murid-murid

Majlis selesai lebih kurang pukul 12.30 tengahari dengan pembahagian berus gigi,susu dan nasi berlauk ikan kepada semua pelajar. Kami balik ke Posko dan terus tertidur keletihan. Sedar-sedar,jam sudah menunjukkan jam 4 petang.

Saya mengambil kesempatan untuk meninjau sungai di belakang surau tersebut. Menurut cerita Ustaz Arif, ikan-ikan di dalam sungai itu di larang untuk di tangkap kecuali sehari dalam setahun iaitu semasa perayaan Maulidur Rasul. Itu kesepakatan ahli kampung dan sesiapa yang melanggar peraturan perlu membayar denda. Memang betul-betul menguji keimanan melihatkan ikan-ikan kelah yang harganya mencecah RM 80 seekor bermain-main di pinggir sungai seolah-olah tahu dengan peraturan yang menyelamatkan spesies mereka itu.

Ikan kelah yang berenang-renang tanpa gangguan

Lebih kurang pukul 5 petang, rombongan kedua YAM sampai dengan selamat menambahkan anggota sukarelawan seramai 12 orang ( 6 lelaki dan 6 perempuan ). Kami bersiap-siap untuk solat Maghrib dan selesai solat,kami bermesyuarat untuk gerak kerja kemanusiaan yang akan di teruskan pada esok hari.

Kami di bahagikan kepada 3 kumpulan iaitu:

Kumpulan Pertama: Kumpulan yang membina rumah bagi menggantikan rumah yang telah
runtuh.
Kumpulan Kedua: Kumpulan menggali perigi untuk sumber air yang bersih
Kumpulan Ketiga: Kumpulan yang memberikan khidmat kesihatan di sekolah dan kampung.

Seperti yang di jangkakan, saya di tugaskan di dalam kumpulan ketiga bersama Ustaz Abu Bakar, Ustaz Wan Faizul dan 6 muslimat yang lain. Terus saya menyelongkar stor masjid yang menempatkan ubat-ubatan sumbangan NGO yang datang sebelum kami yang kelihatan belum di sentuh lagi.

Selesai semuanya lebih kurang pukul 10 malam, kami semua tidur dengan berhimpit-himpit antara satu sama lain dengan lena sekali.Semoga lebih bertenaga untuk berbakti kepada saudara seislam di Padang esok hari.

bersambung

Ramadhan 1430: Peluangnya sama,natijahnya berbeza


Alhamdulillah, Allah Taala masih memberi peluang kepada kita untuk mengecapi kenikmatan dan keberkahan bulan Ramadhan ini. Jiwa yang sudah 11 bulan terkurung di sangkar dosa kini bebas terbang menuju Penciptanya. Marilah sama-sama kita menyuburkan jiwa di awal perjalanan ini dengan siraman hadith Rasulullah s.a.w tentang fadhilat bulan mulia ini.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Sabda Rasulullah S.a.w : Berkata Allah Azza Wajalla : Setiap amalan anak Adam itu baginya, kecuali puasa, sesungguhnya ia bagiKu dan Aku yang akan memberi balasan kepadanya.

Syeikh Ali Sabuni mensyarahkan maksud hadith dengan mengatakan bahawa setiap amalah kebaikan manusia selain puasa itu terzahir di dunia lagi dengan pujian dan penghormatan di sebabkan manusia lain melihat dan mengetahuinya.Sedangkan amalan puasa itu sifatnya tersembunyi dan hanya di ketahui oleh Allah Taala, maka keikhlasannya tidak di ragui lagi.

Puasa juga mengandungi makna yang besar dalam mentahqiqkan sifat sabar kerana manusia meninggalkan kemahuan dirinya semata-mata kerana Allah Taala. Kerana itu Nabi s.a.w mengatakan bulan Ramadhan sebagai شهر الصبر (rujuk hadith 1246 di dalam Kitab RiyadhusSalihin) dan ulama’ menafsirkan ayat Al-Quran استعينوا بالصبر والصلاة dengan makna berpuasa.

Walau apapun perbahasan tentang puasa dari sudut hukum yang bersangkut paut dengannya, ia sebenarnya merupakan medan muhasabah bagi diri kita untuk kita menilai tahap keimanan kita dan di ‘mana’ Allah Taala di hati kita.

Kata Imam Al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin: Ketahuilah bahawa puasa itu terbahagi kepada beberapa darjat. Puasa orang awam, khawas dan khawasul khawas. Adapun puasa orang awam itu hanya sekadar menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa. Puasa orang khawas itu menahan anggota dari melakukan maksiat dan puasa orang khawasul khawas itu ialah berpuasanya hati mereka dari cenderung kepada dunia serta sesuatu selain dari Allah Taala.

Di manakah tahap kita? Tepuk dada,tanyalah iman.

Jabatan ini sekadar watak sampingan?


Semalam, saya berpeluang membuat locum di Jabatan Kecemasan bermula dari jam 8 malam sehingga 12 malam. Locum di sini memang menjadi rebutan memandangkan bayarannya yang agak mahal semenjak Kementerian Kesihatan Malaysia menaikkan kadarnya dari RM 30 sejam kepada RM 80 sejam.

Biasanya, peluang ini lebih di monopoli oleh pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan itu sendiri dengan alasan mereka bekerja mengikut shif dan tiada peluang untuk membuat oncall seperti pegawai perubatan di jabatan-jabatan lain yang kadangkala menimbulkan suara-suara tidak puas hati dengan monopoli tersebut.

Walau bagaimana pun,sistem ini telah berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekaligus memperbaiki imej hospital yang selama ini di kaitkan dengan masa menunggu yang lama dan rawatan yang tidak mesra pesakit.

CERITA YANG BERTERUSAN

Sementara menunggu pesakit,saya mengambil peluang berjumpa dengan kawan lama yang bertugas di Jabatan Kecemasan. Semenjak menamatkan posting di jabatan tersebut 2 bulan yang lalu,jarang saya berkesempatan untuk bertemu mereka.

Seperti biasa, timbullah cerita tentang jabatan-jabatan lain yang tidak berpuas hati dengan pengurusan pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan ini. Memang selama ini, Jabatan Kecemasan di anggap seperti ‘posmen’ yang hanya tahu menghantar pesakit ke wad-wad tanpa menguruskan pesakit di masukkan ke wad di peringkat awal.

Sebab itu, merupakan perkara biasa untuk pegawai perubatan di jabatan ini menerima panggilan yang biadab dan herdikan dari pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan,Perubatan Dalaman, Otopedik dan lain-lain kerana mereka menganggap doktor-doktor di sini hanya tahu memasukkan pesakit tanpa ilmu untuk menguruskan mereka.

“Pesakit macam ni pun awak nak masukkan dalam wad. Tak boleh nak urus sendiri ke kat sana”

Marah seorang doktor dari Jabatan Perubatan Dalaman apabila menerima pesakit yang mengalami uncontrolled hypertension/diabetis mellitus yang tidak menunjukkan apa-apa symptom penyakit. Continue reading “Jabatan ini sekadar watak sampingan?”