Bersama kekasihNya


Rahmat Allah turun pada mengingati orang soleh

Bersama-sama orang yang soleh di dalam majlis mereka, ataupun mendengar kalam-kalam mereka, mahupun mendengar cerita tentang mereka serta manaqib mereka merupakan suatu yang menenangkan jiwa, menerangkan hati serta memperelokkan dengannya akhlak dan juga amalan kita.

Perkara ini di naqalkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah di dalam ta’liqan beliau pada mensyarahkan kitab Risalah Mustarsyidin karangan Imam Harith Al-Muhasibi. Kerana itu, sebahagian golongan salaf, di dalam menafsirkan maksud kalam Allah Taala yang bermaksud ” Hanyasanya dengan mengingati Allah itu,hatikan menjadi tenang ” ialah mengingati dan menyebut-nyebut tentang sahabat nabi, kerana merekalah golongan yang di beri fadhilat melihat Nabi Muhammad Sallalahualaihiwassallam,mengambil ilmu terus dari baginda serta menyaksikan contoh tauladannya.

Peluang bersama ulama murabbi

Saya dan isteri di beri rezeki oleh Allah Taala untuk menghadiri Mukhayyam Tarbawi @ kem tarbiah yang di anjurkan oleh Darul Hasani di Negeri Sembilan. Program yang berjalan selama 3 hari 2 malam ini di kendalikan sendiri oleh seorang ulama’ murabbi Al-Allamah Sayyiduna Syeikh Yusuf  Bakhur Al-Hasani berserta para ahbab dari seluruh Malaysia. Program yang penuh dengan pengisian jiwa di selangi dengan bacaan burdah dan pujian selawat kepada Nabi Muhammad Sallalahualaihiwassallam serta zikir-zikir itu benar-benar  seumpama siraman hujan yang membasahi bumi jiwa yang sudah lama kontang kerana kesibukan duniawi.

Sepanjang program itu,banyak sekali perbincangan sekitar pemahaman yang sahih dan benar tentang tasawwuf serta qadiah dan persoalan berkaitan  yang kerap kali di salah fahami oleh orang yang sekadar menilai dari luar. Sebab itu dalam mendatangi sesuatu disiplin ilmu termasuklah ilmu tasawwuf ini, ulama’ menggariskan 10 perkara asas (Mabadi’ Al-Asyarah) yang menjadi garis panduan supaya kita tidak terkeluar dari batasan ini di dalam memahami dan membincangkan sesuatu perkara. Ianya di ringkaskan di dalam suatu bait syair seperti berikut:

ان المبادي كل فن عشرة     الحدوالموضوع ثم الثمرة

وفضله ونسبه والواضع     والاسم الاستمداد حكم الشارع

مساءل والبعض بالبعض اكتفى     ومن درى الجميع حاز الشرفا

Maksudnya:

Sesungguhnya prinsip setiap seni ilmu itu ada sepuluh perkara. Batasannya, tajuknya kemudian faedah mempelajarinya.

Dan fadilat kelebihannya, kaitannya serta pengasas disiplin ilmu itu. Namanya,sumber pengambilannya serta hukum mempelajarinya.

Permasalahan berkaitan dengannya,dan sebahagiannya saling mencukupi bahagian yang lain. Barangsiapa menguasai kesemuanya, pasti mendapat kemuliaan di sisiNya.

عش مع ربك كما تريد


field (2)
Bismillah

Allahumma Solli’ala Muhammad Wa’Alaalihi Wasohbihi Wasallam

وَمَنْ أَحْسَنُ دِيناً مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لله وَهُوَ مُحْسِنٌ ” [سورة النساء: 125

“Siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya pada ALLAH sedang diapun mengerjakan kebaikan”

Awal Muharam baru-baru ini menyaksikan pertemuan jiwa-jiwa yang sangat memerlukan kepada pembersihan hati, penundukan nafsu dan peningkatan ruhiyyah dan jasadiah dalam perjalanan menuju ALLAH.

Muhadarah dan Mukhayyam bersama Al-Allamah AsSyeikh Yusuf AlHasani yang dicintai dan dirindui serta para Ahbab yang lain merupakan hadiah yang sangat berharga dari ALLAH buat hati ini yang sangat jauh dari ALLAH serta kelalaian yang sukar digambarkan lagi kepedihannya bagi seorang salik. Ibarat hidup tetapi mati, begitulah kiranya. Tanpa istiqamah dan mujahadah, ilmu akan menjadi hujjah atas diri ini. Tiadalah sesiapa yang lebih banyak dosa dari diriku. Tiada hamba yang paling lalai hati dan jiwanya melainkan diriku juga. Bukankan mereka yang telah diberi ilmu dan jalan itu lebih besar dosanya dari mereka yang jahil yang berbuat ma’siat? Bahkan sangat malanglah diri ini yang maksiat, ghaflah, serta hawa nafsu yang berkeliaran liarnya lebih dari mereka yang jahil dan kalangan awwam. Semuanya itu didahulukan dari ALLAH. Alangkah, adakah kepedihan dan kesengsaraan yang lebih besar dari mengenepikan ALLAH dan memilih selainNYA?

Tidak dapat digambarkan betapa indahnya jilsah bersama Al-Allamah Syeikh Yusuf lebih dari segala keindahan halaqah yang pernah kami hadiri. Bukan mujamalah apatalah lagi mubalaghah, ini dari limpahan hati paling dalam.

Seorang Murabbi, Mursyid, Daie menyampaikan pesan-pesan dan risalah ilmiah dan ruhiah dengan penuh kasih sayang dan tanpa penat lelah dan bosan. Merangkumi Risalah dari ilmu Tauhid, madar Da’wah, pengertian pendidikan hati dan nafsu bagi seorang Salik, kepentingan Dhowabit Syara’ dan ilmu-ilmu syara’ dalam pengamalan, bacaan AlQuran, zikir, qasidah, soal jawab bersama meraikan peribadi Syeikh Yusuf yang menggalakkan budaya percambahan perbincangan dan halaqah ilm kepada anak-anak muridnya.

Syeikh Yusuf menekankan sikap siddiq, mahabbah pada ALLAH dan manusia, melihat dan beribadah dengan hanya melihat ALLAH (yakni hanya untuk Redha ALLAH), berusaha mencapai maqam siddiqin dan ahlul arifin, walau SANGAT jauh kami dari mukhlisin (golongan yang ikhlas) apatah lagi mereka yang multazimin (kerana nafsu sangat tidak suka kepada mulazamah dan diriku banyak mendahulukan nafsu dan mengikut nafsu), pesanan Syeikh kami titip dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan.

Pertemuan beberapa kali dalam Ijtima’ Ulama’ Nusantara di Jenderam beberapa tahun lepas juga selepas seisi talk di UIA dahulu bermakna, namun tidak seperti kali ini. Kali ini kami semua ibarat satu keluarga di dalam Mukahyyam Tarbawi dan Ruhi. Seminar, pengajian, tazkirah, soal-jawab, Qasidah, َQiam serta pelbagai pengisian memaknakan lagi pertemuan kali ini.

Mungkin diri ini tidak berpeluang menjadi anak muridnya semasa di Mesir, namun memadailah dapat menjadi anak murid juga anak didiknya di belahan mana sahaja di muka bumi ini. Alangkah, ingin sahaja dilaungkan kepada mereka yang masih berada di bumi Mesir, ٍ Syiria, Jordan, duduklah bersama hadrah-hadrah dan majlis-majlis Ulama’ Amilin dan para Masyayikh Mu’tabar.

Tiada, TIADA keindahan melebihi keindahan tenggelam dalam mengingati ALLAH dan menuntut ilmu untuk bekal atas jalan dakwah dan mengenal ALLAH ini.

Berkata Fudhail B Iyadh:-

عليك بطريق الحق ولا تستوحش لقلة السالكين وإياك وطريق الباطل ولا تغتر بكثرة الهالكين” وكلما استوحشت في تفردك فانظر إلى الرفيق السابق واحرص على اللحاق بهم وغض الطرف عمن سواهم فإنهم لن يغنوا عنك من الله شيئا وإذا صاحوا بك في طريق سيرك فلا تلتفت إليهم فإنك متى التفت إليهم أخذوك وعاقوك

(Al-Minan Al-Kubra: Imam Sya’rani).

Pesan terakhir dari Syeikh di seisi pengajian terakhir:-

عش مع ربك كما تريد

Mengeluarkan diri selain dari kehendak ALLAH dan ikutilah hanya apa yang ALLAH inginkan dan gariskan buat kita