Unfinished Short Story


 

Aku melihatnya dengan sinar keliru, diakah itu sahabat yang telah terpisah lama. Sekujur tubuhnya masih sama, malah aku kenal amat akan riak wajahnya. 15 tahun lamanya aku mencari-cari ke mana hilang gerangannya. Ya, aku pasti itu Raihan. Aku berbisik sendiri.

Sambil menjinjit plastik keluar dari kedai buku Konikuniya aku berlari-lari anak mengejar kujur tubuh itu di balik puluhan manusia. Pandangan mataku berbalam-balam  sambil ingatanku juga melayang mengingati pertemuan terakhir kami.   

 

1988

 

                              
Pertemuan terakhir di persisiran Nil, masih hangat dalam ingatan. Aku masih ingat lagi pada detik itu. Kami melafaz janji bersaksikan langit hitam, bintang  berkerlipan juga halus Nil yang mengalir. Katanya. " Aisya, walau sebentar saja Raihan di sini, menziarahimu mengenal  lembah sarat ulama’ juga akrab dengan ilmu di sini, namun jiwaku tenang dengan nikmat yang sebentar ini. Andai mampu aku mengubah sesuatu ingin sahaja aku menukar tubuh dengan Aisya, aku di sini dan Aisya di Texas". Ulasnya mesra sambil ketawa sendirian.

 

Aku hanya memandangnya sekilas, tersenyum nipis namun hati sarat sebak dengan bicaranya. Tidak mahu menggangu  suasana juga mahu menutup perasaan sebenarku, aku sekadar menepuk lembut lengannya seraya berkata. " Raihan ni, segalanya kan dah tersurat. Raihan di sana, bertemankan pohon-pohon pine, daun-daun mapel,  anggur  yang wangi, dan salju yang dingin. Aku di sini berteman kan debu sahrawi, apalah ada denganku . Namun walau tubuh terpisah jauh namun Raihan mesti ingat janji kita ya." Aku mengerlingnya menanti balasannya.

 

Dia melihatku sambil mengerdipkan matanya yang indah jeli berwarna hazel.  Katanya. " Aisya, takkan Raihan lupa. Jadi wanita yang solehah, ermm rajin belajar hingga benar-benar hadam segala ilmu, tetap di atas jalan dakwah dan ilmu. Juga jangan berkahwin hingga habis belajar." Dia memaparkan wajahnya yang lucu apabila mengutarakan ayat yang terakhir membuatkan  ketawa kami pecah bersama.

 

Sambil membetulkan lipatan hijab hitamku yang  sedikit terganggu oleh desiran angin malam, aku menjawab. " Ingat tu, jangan bermain cinta, nanti terbakar pula. Andai dah tak dapat nak elak, simpan je. Biar pekasam dalam hati. Cinta-حب tu "isim nakirah ". Boleh hadir tanpa diketahui oleh sesiapa."Bercinta" itu ‘feel’, perbuatan perlakuan membenarkan perasaan cinta itu."

 

Aku mengulang kembali prinsip tegas yang kami genggam sejak dari zaman sekolah menengah lagi sambil menjelingnya tajam, namun hati ingin  tertawa melihat mimik wajahnya yang ceria dan terseringai lebar.

 

" Ok dear, aku orait je. Aisya ni, terang pasal nahu pula kat aku yang memang ‘zero’ nahu. Beliau berpura-pura marah. Beberapa anak-anak kecil Arab berlari-lari di tebing sungai Nil di Tahrir ini. Kami senyap seketika melihat ibubapa kepada anak-anak kecil tersebut. Ayahnya sudah kelihatan berumur manakala ibunya masih muda. Begitulah adat kebiasaan di Mesir.

Raihan tersenyum memandang kanak-kanak tersebut yang tersipu-sipu memandang kami. Anak perempuan jesteru malunya tebal. Jika kanak-kanak lelaki menjadi satu kemestian bertanyakan soalan ” Pukul berapa sekarang” apabila melihat ‘Wafidin’ seperti kami.

Raihan menyambung perbualan kami.

“Aisya pun sama ya. Tegar di dalam  Sunnah Baginda s.a.w tau, dan melazimi jalan-jalan Salaf Soleh dan ulama’-ulama’ yang kita sama-sama cintai. Lusa, aku akan terbang ke sana. Menyambung pengajian musim panasku. Kau di sini, baik-baik sahaja ya. Doakan Raihan tabah atas nama wanita Muslimah. Cabaran di sana hebat, hanya segelintir yang berhijab. Mohon doa moga aku tekal ya..

 

Birai mataku kabur, sambil mengenggam erat tangannya, aku mengganguk. Selamat jalan teman. Umpama terusan Nil yang dikatakan berpunca dari syurga; walau entah benar entah tidak, begitulah harapan kami berdua agar janji kami termetri hingga membawa ke JannahNya.

 

Bersambung…
 

April 2006

Entri lama di blog lama. Asalnya tiga tahun lepas ingin menyuntik elemen kesan liberalisasi, travelogue, falsafah dan kemanusiaan dalam cerpen ini. Entah ke mana halatujunya selepas ini. Moga dapat dihabiskan penulisannya dan tahun ini dapat memberi anjakan kepada beberapa perkara dalam hidup. Menghabisi apa yang tertunggak. Menyelesaikan apa yang tertangguh. Diri, peribadi, keluarga dan masyarakat. Learning, growing, improving, loving and giving more each day. Ini yang saya harapkan prior to Muharram. Juga berkongsi secawan kopi di birai Muharam ini. Entri asal saya tulis dua tahun lepas sempena kedatangan hijrah. Moga-moga. Amin.

Anekdot Wida’ I


Gambar di ambil oleh: Kıvanç Niş

Esok dia bakal pergi. Hati ini akan walang rindu lagi. Bukan kepalang. Namun ini hakikat. Daerah ini bukan daerah kekal. Daerah ini daerah memendam cinta. Agar janji bakal terlunasi bersama. Agar rindu terlerai di daerah cinta. Tiada lagi wajah manis yang bakal bercerita bersama. Tentang Turki dan segala yang ada dalamnya. Tiada lagi paksaan mencicipi teh panas sambil menikmati keju masam yang menyihatkan. Tiada lagi. Yang tinggal hanya tepu janji yang bisu. Dia bakal pergi menyusuri langkah teman yang dahulu pergi. Ramadhan akan datang, tiada diksi mereka lagi.

Oh, tahun ini menempa sejarah terpisah kujur tubuh namun bersatu minda, ruh dan hati. Yang tinggal hanya janji. Juga doa. Ikatan itu tidak pada pertemuan hari-hari, namun doa itu saksi dan bukti. Esok, dia bakal pergi.

Julai 2007
~

Meraikan kedatangan Rejab, pintu Ramadhan.
Mengingat gadis-gadis mulus dari Turki; Ebru dan Nejmiye.
Teman memugar rahasia-rahasia bulan-bulan mulia

Ramadhan 19: Aku Yang Tertinggal Gerabak


Oh,

Aku yang tertinggal gerabak

Di hentian itu

Mengejar cinta yang tertangguh

Penuh melimpah

Hingga aku tertinggal gerabak lagi

Oh,

Aku yang tertinggal gerabak

Ditemani rona pagi yang tersenyum simpul

Memerli aku kah?

Desir semilir desa pagi yang menusuk

Tajam menghiris halus

Berbicarakah?

Dengan aku

Aku yang terpisat kesejukan

Di situ; sendirian.

Akulah itu yang tertinggal gerabak

Di hentian itu

Akulah

Akulah

Yang tertinggal gerabak lagi

Dalam mengejar cinta yang tertangguh

Tidak aku tidak

Tetap aku menanti di hentian itu

Menanti gerabak

Demi memenuhi cinta yang tertangguh