Bidang penjagaan kesihatan : Terpilih,di pilih atau memilih?


Belajar dan bekerja merupakan 2 situasi yang sangat berbeza. Bagaikan langit dengan bumi. Ramai di antara kita yang menganggap dunia pekerjaan itu sekadar satu penerusan dari alam pembelajaran rasmi di sekolah dan universiti. Lalu, mereka memasuki alam pekerjaan tanpa persediaan jiwa dan mental yang secukupnya, menyebabkan hari-hari bekerja yang di lalui oleh mereka menjadi satu penyeksaan jiwa yang tidak berpenghujung. Keinginan untuk berhenti dari pekerjaan ialah suatu yang tidak memungkinkan lebih-lebih lagi di dalam dunia yang segala-galanya memerlukan wang ringgit.

Penderitaan semakin bertambah apabila ganjaran kewangan yang di perolehi tidak setimpal dengan penat lelah yang di hadapi. Akhirnya institusi pekerjaan melahirkan robot-robot yang bekerja tanpa jiwa yang hadir,malah yang lebih teruk, ada yang tubuh badannya juga tidak hadir tanpa alasan menyebabkan gaji buta yang di perolehi setiap bulan bakal menjadi bahan bakar mereka di akhirat nanti. Itulah situasi yang berlaku,dan bidang penjagaan kesihatan juga turut terkena tempiasnya. Jika di lakukan analisa kepada pelajar di bidang ini khususnya pelajar perubatan,masing-masing akan kelihatan begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk memulakan alam pekerjaan dan menyandang gelaran doktor.

Ketepikan niat dan ’udang yang tersembunyi’ di sebalik semangat ini seperti merasakan pekerjaan mereka itu sungguh berprestij,perasaan di hormati dan menganggap IQ mereka itu ’first class’, hakikatnya ramai di antara mereka ini akan berhenti,atau sekurang-kurangnya menjadi tidak produktif atau ’chronic medical officer’ apabila memasuki realiti dunia pekerjaan. Itulah di antara pemerhatian saya yang tidak sempurna ini kepada hakikat yang berlaku, di samping menganalisa gejolak jiwa dan perasaan sepanjang bergelar ’house office’ dan ’medical officer’. Tidak sedikit mereka yang masih tidak punya keputusan untuk memilih bidang kepakaran yang sesuai dengan jiwa mereka walaupun sudah bekerja bertahun-tahun malah ada yang mengeluh kerana tersalah memilih bidang pekerjaan ini kerana terpaksa berurusan dengan manusia sakit yang tidak stabil jasmani,emosi dan rohaninya.

Adakah tempoh pengajian 6 tahun itu,terlalu pendek untuk mereka mengenali jiwa mereka dan kesesuaiannya dengan bidang ini,ataupun mereka tiada gambaran sebenar yang jelas tentang pekerjaan yang bakal mereka hadapi.

Beza antara tahu dan faham.

Mengikut qaedah ulama usul feqh di dalam mengeluarkan hukum: Alhukumu ‘ala syai’, far’un ‘an tasawwurih. Seseorang ilmuan itu,walau setinggi mana teori yang di kandung oleh akal mereka, tidak akan mampu mengeluarkan hukum yang tepat dan tuntas sekiranya mereka gagal untuk memahami permasalahan dan situasi yang berlaku. Dalam erti kata yang lain,tahu sahaja tidak mampu melahirkan penyelesaian. Anda mesti memahami dengan sebenar-benar akan hakikat sesuatu perkara,barulah anta mampu menyusun langkah penyelesaian.

Bila di sebut memahami diri,adakah memadai dengan mengenali segenap anggota dan kehendak hati tanpa mengaitkannya dengan perkara yang lebih asas,iaitu, siapa aku?

Faham diri,bagaimana?

Setiap manusia bermula dari keadaan yang sama.Mereka lahir tanpa mengetahui sesuatu apa pun. Dengan kasih sayang, Allah Taala yang telah menciptakan mereka,memimpin mereka untuk membesar dewasa dan mempermudahkan mereka untuk menjalani kehidupan yang berbeza,sesuai dengan hikmah kebijaksaan Allah Taala.

Jadi,bidang pekerjaan bukanlah suatu yang perlu di bangga-banggakan. Hakikatnya, semua itu adalah ujian dan takdir untuk Allah Taala menilai anda,adakah anda melakukan yang terbaik sesuai dengan tujuan penciptaan anda,iaitu sebagai hamba kepada Pencipta. Dan mereka yang terbaik ialah mereka yang jiwa batin mereka sentiasa tunduk kepada keagungan dan kekuasaan Allah Taala serta tubuh zahir mereka menuruti jalan kekasihnya iaitu nabi dan rasul serta melakukan kebaikan sesama makhluk dengan segala kemampuan yang di berikan Allah.

Di sinilah seharusnya kita bermula dalam mengenal diri kita. Bukan hanya kenal diri kita sebagai mahasiswa yang nanti bakal menjadi professional, tetapi yang lebih utama ialah mengenal siapakah yang melorongkan laluan kita untuk menjalani kehidupan seperti itu,agar kita tidak menjadi insan yang mementingkan diri sendiri tanpa menyebarkan kebaikan itu kepada insan yang memerlukan.

Ini sesuai dengan pemerhatian seorang Pakar Perubatan Islam, Dr Ali Abdul Bar yang mengatakan: Ramai orang yang terlibat di dalam bidang perawatan ini sekadar memikirkan apa yang boleh di beri oleh bidang ini kepada mereka, dan bukan apa yang boleh mereka berikan kepada orang lain melalui bidang ini. Maka lahirlah doktor yang materialistik, yang memberikan rawatan istimewa kepada mereka yang berharta dan berpangkat sedangkan dalam masa yang sama mengabaikan mereka yang daif dan tidak berkemampuan.

Manusia dan masalah yang tak kunjung selesai

Bidang penjagaan kesihatan ialah bidang menguruskan manusia. Pengurusan jasmani,emosi dan jiwa manusia ini cukup kompleks dan komplikated, tidak mampu di rangkum dalam teori semata-mata. Hakikat ini yang tidak mampu di fahami oleh mereka yang sekadar menjadi penghafal cemerlang teori perubatan dan tidak melakukan usaha tambahan bagi mengenal setiap unsur yang membentuk manusia.

Semua pesakit yang di bawa ke hospital di sebabkan penyakit zahir, tetapi ramai juga yang membawa  penyakit jiwa dan emosi bersama mereka. Menguruskan mereka bukan sekadar memberi ubat, tetapi juga kesabaran di dalam menenangkan dan memberi harapan kepada mereka. Begitu juga dalam berurusan dengan keluarga pesakit yang sentiasa tidak sabar-sabar untuk melihat perubahan positif,juga memerlukan seni psikologi yang tidak di nilai semasa peperiksaan MBBS ataupun MD.

Di sebabkan inilah,pesan seorang ulama’ murabbi ini sewajibnya menjadi panduan seorang doktor.Katanya: ” Sebagaimana seorang Ulama’ itu menunjukkan jalan untuk beribadah kepada Allah melalui curahan ilmunya,begitulah kemuliaan tugas seorang pengamal perubatan,yang juga menunjukkan jalan kepada ubudiah dengan merawat seorang pesakit sehingga mampu kembali beribadah. Masing-masing punya peranan menyebarkan rahmat Allah kepada sekalian hambaNya mengikut kemampuan dan kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.” Inilah motivasi yang tidak akan sirna di telan zaman kerana matlamatnya ialah keredhaan Allah Taala yang akan berkekalan abadi dan wasilahnya ialah melakukan kebaikan kepada hambanya yang memerlukan.

Tarbiah jiwa berterusan suatu keperluan

Jiwa manusia ini, seumpama makanan yang di masak di dalam air menggelegak. Berbolak-balik dan untuk menetapkannya, mintalah kepada empunya jiwa ini untuk menetapkannya. Kerana itu,doa ”Wahai Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati ini,tetapkanlah ianya di atas agamaMu dan mentaatiMu” perlu sentiasa mengiringi solat fardhu kita.

Di samping itu, jiwa ini juga perlu di isi kerana ianya seumpama bekas yang kosong, jika tidak di isi dengan kebaikan dan peringatan, ianya pasti di singgahi kejahatan dan bisikan nafsu syaitan. Ramai di antara kita yang ’pencen’ dari mendengar tazkirah, ’uzur’ dari menghadiri majlis ilmu dan ulama’, ’MC’ dari usrah dan mujalasah bersama golongan soleh apabila sibuk dengan pekerjaan. Aktiviti yang suatu masa dahulu sentiasa mewarnai dunia sebagai seorang mahasiswa semakin di pandang sepi menyebabkan jiwa semakin malap dan tidak bermotivasi. Carilah sela masa walau sesaat untuk mengisi jiwa sekalipun sebagai seorang terlibat di dalam merawat manusia ini,tuntutannya berat dan tidak mengenal waktu. Jiwa yang mengenal keagungan tuhan dan menghayati kehambaan diri sahajalah yang mampu merawat jiwa-jiwa lain yang berada di dalam keadaan sakit.

Redha bukan putus asa

Apabila kita memahami diri kita dan sanggup mengenepikan kepentingan diri untuk memberikan kebaikan kepada seorang pesakit itu, barulah akan timbul kemahuan untuk melakukan yang terbaik kerana Allah Taala lah yang telah meletakkan kita sebagai seorang perawat tidak kira di dalam bahagian atau kepakaran apa jua . Inilah hakikat redha pada ketentuan takdir yang di tetapkan oleh Allah Taala. Segalanya dari Allah Taala, kerana Allah Taala dan untuk Allah Taala. Kita tidak akan berkeluh kesah dan buntu dalam memilih bidang untuk berkhidmat kerana tiada lagi tuntutan hawa nafsu di dalam pekerjaan kita.

Benarlah kata Ibnu Ataillah menegur orang yang tidak tetap dalam pendiriannya menghadapi takdir Allah Taala seperti di dalam kitab Hikamnya : Kehendak engkau kepada mengosongkan diri dari mengambil asbab (tajrid) sedangkan Allah Taala meletakkan engkau pada maqam orang yang memerlukan asbab (untuk mendapat rezeki) hanyalah merupakan tuntutan hawa nafsumu yang tersembunyi. Ini kerana,walaupun gambaran zahirnya seperti seorang yang redha dengan ketetapan Allah Taala,tetapi asasnya ialah hawa nafsu yang malas untuk berusaha mencari rezeki. Kenalilah kehendak Allah Taala di dalam setiap takdir yang di tetapkan ke atasmu, nescaya dirimu akan menjadi seorang yang tenang.

-Salman-

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s