Jabatan ini sekadar watak sampingan?


Semalam, saya berpeluang membuat locum di Jabatan Kecemasan bermula dari jam 8 malam sehingga 12 malam. Locum di sini memang menjadi rebutan memandangkan bayarannya yang agak mahal semenjak Kementerian Kesihatan Malaysia menaikkan kadarnya dari RM 30 sejam kepada RM 80 sejam.

Biasanya, peluang ini lebih di monopoli oleh pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan itu sendiri dengan alasan mereka bekerja mengikut shif dan tiada peluang untuk membuat oncall seperti pegawai perubatan di jabatan-jabatan lain yang kadangkala menimbulkan suara-suara tidak puas hati dengan monopoli tersebut.

Walau bagaimana pun,sistem ini telah berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekaligus memperbaiki imej hospital yang selama ini di kaitkan dengan masa menunggu yang lama dan rawatan yang tidak mesra pesakit.

CERITA YANG BERTERUSAN

Sementara menunggu pesakit,saya mengambil peluang berjumpa dengan kawan lama yang bertugas di Jabatan Kecemasan. Semenjak menamatkan posting di jabatan tersebut 2 bulan yang lalu,jarang saya berkesempatan untuk bertemu mereka.

Seperti biasa, timbullah cerita tentang jabatan-jabatan lain yang tidak berpuas hati dengan pengurusan pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan ini. Memang selama ini, Jabatan Kecemasan di anggap seperti ‘posmen’ yang hanya tahu menghantar pesakit ke wad-wad tanpa menguruskan pesakit di masukkan ke wad di peringkat awal.

Sebab itu, merupakan perkara biasa untuk pegawai perubatan di jabatan ini menerima panggilan yang biadab dan herdikan dari pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan,Perubatan Dalaman, Otopedik dan lain-lain kerana mereka menganggap doktor-doktor di sini hanya tahu memasukkan pesakit tanpa ilmu untuk menguruskan mereka.

“Pesakit macam ni pun awak nak masukkan dalam wad. Tak boleh nak urus sendiri ke kat sana”

Marah seorang doktor dari Jabatan Perubatan Dalaman apabila menerima pesakit yang mengalami uncontrolled hypertension/diabetis mellitus yang tidak menunjukkan apa-apa symptom penyakit.

“Kenapa masukkan pesakit yang tahap kesedarannya(GCS) tidak normal ini ke jabatan kami.Ini kes Jabatan Pembedahan. Saya boleh saman awak kerana tidak memeriksa pesakit dengan lengkap”

Ugut seorang doktor dari Jabatan Otopedik kepada rakan saya.

“ Saya tengok doktor-doktor di sini hanya tahu masukkan pesakit ke wad semata-mata. Tak ada ilmu langsung nak uruskan pesakit”

Tegur seorang Pakar Bedah dengan sinis.

PENGALAMAN YANG MENGAJAR

Apa yang di nyatakan di atas cuma sedikit dari senario yang berlaku dan terpaksa di hadapi oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan setiap hari. Peranan mereka yang besar untuk menyaring pesakit berdasarkan keseriusan penyakit yang datang tanpa henti ke hospital seolah-olah tidak bererti di mata rakan-rakan dari jabatan lain. Pakar kecemasan turut menerima tempiasnya apabila sering menjadi sasaran setiap kali timbul aduan tidak puas hati dari pesakit yang datang.

Sebagai pegawai perubatan yang pernah bertugas di jabatan ini selama lebih kurang 6 bulan, saya melihat perkara ini berlaku kerana mereka yang sering menuding jari mencari kesalahan itu tidak pernah terlibat dengan jabatan ini.

Sebagai orang luar,mereka tidak mengetahui sistem yang berjalan di Jabatan Kecemasan ini yang bagi saya cukup teratur untuk menerima kedatangan pesakit yang ramai dan mengalami penyakit yang berbeza tahap keseriusannya.

Yang demam selsema pun akan datang ke jabatan ini dan mengharapkan mereka di layan seperti kes yang cemas sehinggalah kepada kes polytrauma yang memang merupakan kes kecemasan turut ‘di datangkan’ ke jabatan ini (dengan ambulans).

Bilangan katil yang terhad dan ketiadaan wad yang khusus menyebabkan mereka yang bertugas di sini perlu membuat keputusan yang tepat dan cepat di dalam kesempitan masa dan kekurangan alat. Berbeza dengan jabatan yang menerima pesakit ke dalam wad. Mereka mempunyai banyak masa untuk memeriksa pesakit dari A hingga Z di bantu oleh peralatan yang khusus sekaligus memungkinkan mereka untuk membuat diagnosis yang tepat dan biasanya jauh berbeza dari diagnosis yang di buat di Jabatan Kecemasan.

PERANAN YANG PERLU DI PERTINGKATKAN

Baru-baru ini,saya berpeluang menonton beberapa siri dari drama Jepun yang bertajuk ‘Code Blue’. Drama bersiri yang mengisahkan tentang 4 orang doktor muda yang di tugaskan di Jabatan Kecemasan di sebuah hospital yang lengkap dan ‘advance’ dengan perkhidmatan ‘Doctor Heli’ yang menggunakan helikopter sebagai ambulans untuk sampai ke tempat kejadian dalam waktu yang singkat.

Yang menariknya,jabatan kecemasan di hospital itu mempunyai bilik rawatan yang mencukupi, wad sendiri yang luas untuk menempatkan pesakit bagi ‘observation’ melebihi 24 jam,unit rawatan rapi (ICU) dengan mesin ventilator yang moden serta dewan bedah kecemasan yang di selia oleh seorang pakar bedah otak (neurosurgeon).

Pakar kecemasan dan pegawai perubatan tersebut melakukan prosedur kecemasan seperti trakeostomi (membuka salur trakea),laparotomi (pembedahan membuka abdomen bagi kes-kes kemalangan yang menyebabkan kecederaan organ dalaman) serta kraniotomi (pembedahan membuat bukaan pada tempurung kepala bagi mengeluarkan darah yang berkumpul di otak di sebabkan impak gegaran kepada kepala) di bantu oleh pakar bedah otak yang bertugas. Pesakit-pesakit di ICU juga di uruskan sepenuhnya oleh doktor di jabatan ini dan hanya melibatkan doktor bius bagi konsultansi kes yang rumit.

Saya rasa, sekiranya Jabatan Kecemasan di Malaysia di ‘upgrade’kan ke tahap ini, jabatan ini takkan lagi di pandang sebelah mata oleh jabatan-jabatan lain di hospital. Jabatan Kecemasan juga mampu berperanan menguruskan pesakit dengan sempurna dan jabatan-jabatan lain pula boleh tersenyum dengan kadar kemasukan pesakit yang rendah ke dalam wad mereka.

TANGGUNGJAWAB YANG PALING UTAMA

Mungkin apa yang di gambarkan di dalam drama tersebut merupakan impian dan idealisma bagi doktor-doktor di Jabatan Kecemasan dan untuk di laksanakan di semua peringkat di seluruh negara merupakan satu perkara yang memerlukan usaha dari semua pihak bermula dari kementerian itu sendiri.

Walaubagaimanapun, seorang doktor perlu menghargai peranan yang di laksanakan oleh setiap jabatan kerana setiap jabatan mempunyai fungsi yang besar dalam menggerakkan sesuatu sistem di dalam sesebuah hospital. Daripada Pengarah Hospital sehinggalah kepada pekerja di Jabatan Radicare, masing-masing seumpama nadi yang memberi nyawa kepada kelancaran hospital dan tanpa mereka, pastilah perjalanan sistem di dalam sesebuah hospital itu akan lumpuh.

Tinggi atau rendahnya jawatan seseorang, hakikatnya semua kita saling memerlukan. Taraf dan jawatan hanyalah ujian Allah Taala untuk melihat adakah hambanya yang di beri ketinggian itu bersyukur dan memberi, dan hambanya yang di letakkan di tempat yang rendah ini mampu bersabar dan menerima ketetapannya.

Allah telah mengingatkan kita akan hakikat pembahagian tugasan dan peranan masing-masing dengan jelas dalam Surah Az-Zukhruf ayat 32 yang berbunyi:-

نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

” Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan”.

Semoga kita dapat memahami keperluan setiap daripada kita dalam urusan harian sekalipun pada pandangan zahir, ia hanya kecil atau nampak tidak bermakna, namun merupakan enjin yang menggerakkan sebuah kereta kehidupan pada hakikatnya.

Advertisements

6 thoughts on “Jabatan ini sekadar watak sampingan?

  1. Assalamualaikum….
    Bila baca kisah doc di hsp, buat kak su jadi semput nafas la jugak….
    Dikejar dek hsp yg nak barang dgn urgent pun, dah rasa mengah. Kak su faham situasi kecemasan di hsp, tapi kadang tu rasa tak berdaya nak membantu bila barangan kami tak dimanufacture diM’sia.

  2. salmanamir

    @Suara

    Macam tu lah akak. Setiap pekerjaan ada ujiannya. Semuanya hanya untuk satu tujuan,bagi melihat kesabaran kita menghadapinya.
    Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul.
    Bersyukurlah kerana ujian yang di beri tidak melibatkan urusan agama dan bukanlah di luar kemampuan diri kita.

  3. :)harapnya bila adik duduk di jabatan lain , adik tidak akan lupa pengalaman bekerja di emergency department .
    pengalaman akak 3 tahun bertugas di emergency department di KL,dah banyak kali dapat layanan seperti yang adik cerita . bukan sahaja dari doktor malah dari staff nurse yang menjaga wad .
    hakikatnya ramai tidak mengerti peranan sebenar jabatan kecemasan.niat kita hanya untuk memasatikan pesakit mendapat rawatan semaksima mungkin.tapi bagi mereka itu menambahkan lagi beban tugas mereka.andainya mereka2 ini semua memandang setiap pesakit seperti ahli keluarga mereka sendiri , pasti mereka mahu pesakit ini mendapat rawatan yang sewajarnya …allahua’lam

  4. AKHI Salman.. aku ni kena maroh sokmo kat department lain time kat casualty dulu..kadang2 terasa hina jugok. tapi duduk kat district lagilah kena laser teruk2 konon kononnye xreti tengok kes! Tapi bila duk kat Health sekarang, bila di ingat2kan pulok.. teringat jgk time duk casualty and district.. sebenarnya bes gok.. ada pengalaman manis and pahit yang dapat kita bawak sepanjag hidup jd doktor ni..duk KK ni.. tengok cold case hari2.. sorang2 pulok tu.. ape2pn hargailah pengalamn tu ye.. dapat jd panduan nanti..insyaALLAH!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s