Repost: Sebuah Lorong Di Mansurah


Buat Kak Ngah di Mesir. Walau bukan bidang agama, tetapi subur dengan tanah Nabi dan Ulama’ jiwamu itu!

MEI 15, 2007

Suatu waktu dahulu di bait Raudhatul Muhtmainnah, di mantiqah Hayyu Syarq. Kali ini saya menulis entri ini  hati  sangat sarat sebak. Mata saya merah. Benar-benar basah.

Saya sangat sedih dan sebak yang amat. Entah kenapa  teringatkan sahabat-sahabat semasa di Mesir dahulu. Bagaimana saya merindui mereka. Sangat dan teramat. Walau berbagai yang kamu lalui. Tidak dapat saya bandingkan mana-mana tempat seperti di bumi Mesir. Penuh dengan mehnah yang sangat mencabar jiwa. Pedih dan bahagia bercampur satu. Berbaur satu.

Ke mana sahaja saya pergi, saya sayangkan semua di sekeliling saya. Saya sangat mengharapkan agar dapat bersama selama-lamanya. Namun memoir di Mesir antara paling payah dilupa. Mungkin kerana barakah tanah itu.

Suatu waktu dahulu, saya hidup di satu bumi bernama Mansurah. Tempat itu satu perkampungan yang tenang dan damai. Saya masih ingat benar rumah itu. Ketika adik baru saya ditempatkan di mantiqah Hayyu Syarq. Mantiqah yang hujung. Dekat juga dengan pasar, kuliah dan markaz pelajar Mansurah. Seronok. Walau yang pedih dan perit tidak ingin saya ingati. Namun yang bahagianya juga banyak dan tidak terbilang.

Kalau ingin ke kuliah, kami bersama-sama menaiki gabar yang berharga 20 qurusy. Atau 25 qurusy. Tidak silap saya. Atau berjalan semahu kami.

Seingat saya kebanyakkan kakak-kakak serumah saya suka berjalan. Malah pernah suatu hari saya dan Kak Ni tersalah turun semasa mahu ke Sikkoh Gadidah, lantas kami berjalan dengan gembiranya menuju pejabat pos. Boleh dikatakan kami semua suka berjalan kaki. Ke mana sahaja. SubhanAllah.

Saya juga masih ingat benar rumah itu. Di tingkat dua. Masih basah dalam ingatan. Rumah itu mempunyai 5 bilik. Satu bilik dikongsi dua. Dapurnya besar, ruangtamunya lumayan besar. Seandainya hari raya menjelang tiba, kami akan meraikan bersama.

Oh ya, ahli bait saya amat suka memasak. Mereka juga kesemuanya mahir memasak. Rumah kami akan menjadi port ketika hari raya. Akan diadakan solat hari raya di situ. Kadang-kadang kami solat di Istad (Stadium Bola).

Saya terkenang juga dengan Mama, Baba atas rumah. Kiri dan kanan rumah juga. Semuanya saya ingat. Kalaulah saya boleh pergi. Ingin saya menziarahi mereka. Namun yang menyedihkan saya terkenang, mama rumah atas saya. Sahabat saya yang baru pulang mengatakan dia sudah meninggal dunia. InnaLillahiwainnailaihirajiun.

Mama masih sangat muda. Baik hati, pemurah pula. Kesian Mama. Bagai tidak percaya beliau sudah meninggalkan alam ini. Katanya kerana kerenah anaknya, Ahmad yang sangat tersangat liar. Moga Allah mencucuri Rahmat ke atasmu, mama. Sayang Mama. Saban tahun, ahli bait saya akan pulang, mencurah bakti di Malaysia. Pemergian mereka akan kami tangisi. Mana tahu, entah bila akan bertemu.

Segalanya di tangan Allah. Sayu bila mengenangkan kakak-kakak yang menjaga saya. Di mana mereka sekarang. Ada yang sampai sekarang tidak dapat dihubungai. Namun ada yang juga yang dapat dihubungi. Maklum sahaja, dunia kami tika itu mana ada telefon tangan.

Berderai-derai air mata saya membasahi pipi. Rindunya pada mereka. MasyAllah. Semuanya saya ingat dan rindu. K.nie, yang entah di mana sekarang. K.ayu yg berkongsi segalanya. K.na, yang sangat prihatin terhadap saya. K.ya yang pandai menjahit. K.da, k.lili, k.ju, k. yani. Semuanya saya ingat dan sayang. K.Mas yang bagai satu tubuh dengan saya. Kami ke Hussien bertalaqi dengan Syeikh bersama-sama. Mencuri-curi ke sana.

Kami sering solat jemaah bersama. Dan kami mempunyai jadual solat jemaah bersama. Kami akan membakar satey di atas sutuh kadang-kadang. Membuat makan-makan bila kami lapang. Sama-sama pergi ke program, memeriahkan majlis ilmu. Sama-sama membeli barang bila mahu pulang ke Malaysia. Walau kadang-kadang terasa hati, bertingkah hujah. Namun itu pelajaran. Itu perjalanan kehidupan. Ramadhan, kami beribadah bersama. Kami sahur dan berbuka bersama. Beratur mengambil barang ma’unah di kuliah bersama. Alangkah indahnya saat itu!

Namun saya akui, dunia ini bukan tempat jaza’. Bukan tempat baqa’. Tidak kekal. Namun kami telah berikrar akan berjuang bersama. Bersama-sama menegakkan dinuAllah. Berjuang atas dasar Kalamullah. Menggapai Redha Allah.

Bumi berpasir sahrawi itu benar-benar membakar diri kami. Biar nyawa menjadi taruhan, kami akan pertahankan din yang kami cintai. Kerana tepat amat dunia ini bukanlah tempat kekal, maka perpisahan yang tidak itu kami terima dengan Redha. Kami berharap akan bertemu suatu hari nanti. Di suatu pertemuan yang tiada kesedihan. Di suatu medan yang penuh kenikmatan.Di suatu taman yang hanya akan kedengaran dzikir penuh kecintaan. Di suatu Raudhah yang kekal. Hanya di situ kami akan gembira, tenang dan bahagia. Bersama kekasih kami; ALLAH. Amin. Moga-moga juga kami akan bernaung di bawah satu lembayung di kala tiada lembayung lain memayungi di medan pengadilan nanti. Amin.

ن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ” سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه ” متفق عليه

Advertisements