Di Luar Kotak Seorang Doktor


Hari ini, sekali lagi diri saya di bawa berfikir. Berfikir tentang peranan . Bekerja di Jabatan Kecemasan ini menyebabkan saya turut terlibat dengan kes medicolegal (kes dalam siasatan polis) seperti kes rogol yang kebanyakannya suka sama suka, kes penyalahgunaan dadah, pengambilan darah untuk pengesahan DNA penjenayah dan macam-macam lagi perkara yang menyesakkan dada melihatkan kroniknya penyakit masyarakat yang jauh dari nilai agama.

Memang tugas doktor cuma sekadar memeriksa mereka kemudian memberikan ubat berdasarkan penyakit mereka, tapi tugas sebagai seorang islam seakan terabai bila membiarkan mereka berlalu tanpa berkata sesuatu. Kita sekadar melakukan rutin seorang doktor tanpa berusaha untuk mengubah penyakit yang lebih kronik di dalam jiwa mereka iaitu penyakit Ghaflah.

Lupa pada Allah Taala, lupa kepada tujuan Allah Taala meletakkan mereka sebagai Khalifah di muka bumi ini dan yang lebih besar, mereka lupa kepada pengakhiran hidup mereka. Mereka bukan sengaja melupakan perkara tersebut, tapi bagi golongan ini, persoalan asas ini tidak pernah di fikirkan oleh mereka. Masyarakat sekeliling sekadar mencemuh perbuatan mereka tanpa usaha untuk membantu mereka menyelesaikan persoalan ini menyebabkan mereka semakin jauh tersesat di alam nafsu sendiri.

” Siapa kita, Dari mana dan Ke mana?” merupakan persoalan asas bagi segala tujuan. Bagi menyelesaikan persoalan inilah, Allah Taala menurunkan panduan di dalam kitab sucinya dan di terjemahkan oleh Rasul utusan Allah, supaya manusia dapat menemui cahaya kehidupan setelah teraba-raba mencari arah di dalam kegelapan jahil dan kufur.

Hidup ini terlalu murah jika sekadar untuk di habiskan bagi memenuhi tuntutan jasmani semata-mata. Apakah beza kita sebagai manusia dengan binatang sekiranya tujuan hidup adalah untuk makan , berehat , melepaskan nafsu seksual dan mencari duit hanya untuk meneruskan perkara tersebut. Sebab itu Allah Taala mencetuskan persoalan ini di dalam ayatNya:

قال الله تعالي : افحسبتم انما خلقناكم عبثا وانكم الينا لا ترجعون

Maksud: Adakah kamu menyangka (wahai manusia) yang kamu ini   di ciptakan dengan sia-sia dan kamu tidak di kembalikan       kepada kami (tidak sekali-kali)

Allah Taala juga menempelak golongan yang sekadar hidup untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu dan melupakan tujuan hidup yang utama iaitu mengenal Allah Taala dan menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadahNya.

قال الله تعالي : والذين كفروا يتمتعون وياكلون كما تاكل الانعام والنار مثوا لهم

Maksud : Dan orang-orang yang kufur (kepada Allah Taala) , mereka berseronok dan makan sebagaimana binatang ternak, nerakalah kesudahan bagi mereka.

Seorang muslim mestilah menyukai bagi saudaranya apa yang di sukai bagi dirinya. Mafhum dari hadith ini meluas pemahamannya dan bukan sekadar menganjurkan kita untuk berkongsi kebaikan dengan saudara seislam kita dari segi material. Kebaikan yang paling besar dan wajib di kongsi bersama adalah hidayah Allah dan kefahaman islam yang di berikan oleh Allah Taala kepada kita.Bantulah untuk menggapai tangan saudara seislammu yang sedang lemas di lautan nafsu dan pimpinlah mereka di atas jalan menuju Allah Taala.

‏ ‏حدثنا ‏ ‏مسدد ‏ ‏حدثنا ‏ ‏معتمر ‏ ‏عن ‏ ‏حميد ‏ ‏عن ‏ ‏أنس ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏قال ‏
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏انصر أخاك ظالما أو مظلوما قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما قال تأخذ فوق يديه

Sabda Rasulullah s.a.w : Bantulah saudaramu yang berlaku zalim atau yang menzalimi. Sahabat berkata: Ya Rasulallah,kami membantu orang yang di zalimi,tetapi bagaimana kami membantu orang yang zalim. Sabda Rasullullah: Halangilah kezaliman yang di lakukan oleh mereka (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Tanggungjawab kita tidak sekadar terhenti pada pekerjaan kita sehari-hari Mungkin kita seorang doktor,jurutera,peguam,pensyarah atau siapa saja, tapi yang akan di persoalkan oleh Allah ialah apa yang kita lakukan untuk agamaNya melalui pekerjaan kita. Hanya dengan jalan dakwah ini kemuliaan ummah ini dapat di kembalikan.

Advertisements

One thought on “Di Luar Kotak Seorang Doktor

Comments are closed.